TAWAU – 17 Januari 2022 pada jam 8.35 malam, Tim OP Cegah Pati (OCP) Daratan Sektor Selatan, bertindak atas maklumat risikan berkaitan kemasukan PATI ke daerah Tawau, telah melaksanakan operasi yang terdiri daripada Tim OCP Daratan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan empat anggota tentera bawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah membuat pemantauan di Kg Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, Tawau. Semasa melaksanakan pemantauan Tim OCP Daratan telah berjaya mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara berwarna hijau sedang bergerak keluar daripada Kg Kurnia Jaya dipercayai membawa PATI yang baru sampai dari Pulau Sebatik, Indonesia. Tim OCP Daratan telah bertindak mengekori dan menahan kenderaan tersebut sehinggalah kenderaan tersebut berhenti dan parkir di bangunan kedai di Jalan Habib Sheikh Sabindo. Tim OCP Daratan seterusnya membuat pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut.
Hasil pemeriksaan awal terhadap kenderaan tersebut mendapati, ianya digunakan oleh agen untuk mengangkut PATI warganegara Indonesia. Pasukan beroperasi telah bertindak menahan pemandu warganegara Malaysia berusia 58 tahun serta kesemua PATI tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati 7 PATI merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau. Mereka terdiri daripada seorang lelaki dewasa berusia 36 tahun, tiga wanita dewasa berusia antara 27 hingga 38 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia 2 dan 4 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun ditemui bersama barang persendirian. Mereka dimaklumkan telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah. Pemandu dan penumpang berserta kenderaan telah di bawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut. Tim OCP Daratan telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 dan SUB PUSOP ESSCOM di Tawau untuk diambil tindakan lanjut. SUB PUSOP ESSCOM telah mengaturgerakkan sebuah kenderaan pengangkut pesalah ke lokasi kejadian bagi membawa kesemua PATI tersebut ke Ibu Pejabat Polis Tawau pada jam 9.00 malam. Kesemua PATI diserahkan kepada IPD Tawau bagi tujuan soal siasat dan laporan polis serta proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya.