ATB 2 GAGALKAN CUBAAN PATI MASUKI SABAH

TAWAU – Pada 31 Jan 22, Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah berjaya mengagalkan cubaan 14 PATI warganegara Indonesia menyusup masuk ke Sabah. Kejayaan ini adalah hasil dari pengesanan awal menerusi Radar CSS (Coastal Surveillance Station) yang dikendalikan oleh MK ATB 2 yang telah berjaya mengesan sebuah buah bot dari arah luar sempadan perairan Malaysia memasuki perairan Malaysia secara haram pada jam 7.38 malam tadi. Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah bertindak mengarahkan Tim Quick Reaction Force (QRF) di bawah pemerintahan Komander ATB 2 yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA untuk melaksanakan tinjauan ke kawasan Kampung Kurnia Jaya dan hasil dari tindakan pantas Tim QRF telah berjaya menahan 14 PATI yang sedang bersembunyi di dalam sebuah rumah kosong, di Jambatan 1, Kampung Kurnia Jaya, Tawau. Bot yang membawa kesemua PATI gagal dikesan oleh Tim QRF dan dipercayai bersembunyi di kawasan perkampungan rumah atas air.
Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada POWB MK ATB 2 untuk diambil tindakan lanjut. Hasil pemeriksaan awal terhadap 14 PATI mendapati mereka merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau. Mereka terdiri daripada tujuh lelaki dewasa berusia antara 19 hingga 41 tahun, lima wanita dewasa berusia antara 21 hingga 48 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun dan seorang bayi perempuan berusia 2 tahun yang ditemui bersama barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang terlarang. Mereka dimaklumkan telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
POWB ATB 2 telah memaklumkan kejadian tersebut kepada SUB PUSOP ESSCOM di Lahad Datu bagi melancarkan proses tangkapan tersebut. Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 9.20 malam tadi menggunakan sebuah kenderaaan trak 3 Ton tentera, bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya.
Skip to content