ATB 2 GAGALKAN CUBAAN PATI MENYUSUP MASUK KE SABAH

TAWAU – Pada 21 Disember 2021 jam 8.15 malam, Tim Quick Reaction Force (QRF) di bawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan tujuh PATI dipercayai warganegara Indonesia menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau. Cubaan kumpulan ini digagalkan apabila Tim QRF yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA dengan menggunakan motosikal dan sebuah pacuan empat roda, telah mengesan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan, telah merapat ke perkampungan rumah atas air, Batu 3 Tawau.
Bot yang membawa PATI kemudiannya beredar dari kawasan tersebut dan kelihatan tujuh PATI dalam keadaan tergesa-gesa berlari menaiki sebuah kenderaan sedan jenis Toyota Corolla warna putih yang berada berhampiran kawasan tersebut yang digunakan oleh agen untuk mengangkut PATI warganegara Indonesia. Tim QRF bertindak mengekori rapat dan telah menahan kenderaan tersebut berhadapan Stesyen Minyak Petron Batu 3, Tawau pada jam 8.15 malam. Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2.
Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki dewasa warganegara Malaysia berusia 50 tahun (agen) dan tujuh warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen berada di dalam kenderaan tersebut. Mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa berusia 28 tahun dan 41 tahun, tiga wanita dewasa berusia 31 hingga 47 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun ditemui bersama barang persendirian. Maklumat awal diperolehi dari tahanan memaklumkan bahawa mereka telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau. Mereka kemudiannya akan diambil oleh agen yang telah menunggu dengan menggunakan kenderaan darat menuju ke Bandar Tawau. Agen warganegara Malaysia tersebut telah ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Skip to content