ATB 2 GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINYAK DI PERAIRAN PULAU BOHAYEN

SEMPORNA, 23 November 2021 – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak di perairan Pulau Bohayen, Sabah. VIPER 02 bersama Tim Quick Reaction Force (QRF) Pulau Bohayen yang keluar membuat rondaan telah mengesan sebuah bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan pada jam 6.10 petang pada 22 Nov 21. VIPER 02 telah berjaya memintas dan menahan bot laju tersebut pada jam 6.15 petang yang begerak laju dari arah barat Pulau Bohayen menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia/Filipina.
VIPER 02 bersama Tim QRF telah membuat pemeriksaan awal dan hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan terdiri daripada dua orang awak-awak lelaki, seorang warganegara Filipina berusia 50 tahun dan seorang warganegara Malaysia berusia 24 tahun serta tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Sebanyak 29 tong minyak berkapasiti 35 liter/tong yang berisi minyak petrol berjumlah 1,015 liter berada di dalam bot berkenaan. Hasil keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 17,725.00. Bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Bot laju tersebut telah ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dan awak-awak bot tersebut kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi membuat laporan polis. Mereka seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut oleh PDRM. Kerjasama yang erat di antara ATM, ESSCOM, PDRM, KKM dan PPM berada di tahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan di Perairan Pantai Timur Sabah.
Skip to content