TAWAU, 12 Feb 22 – 8 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat di Tawau bersama seorang warga Malaysia yang bertindak sebagai agen darat telah ditahan dalam satu serbuan pada jam 2.30 pagi ini. Kejayaan tangkapan ini adalah hasil pengesanan awal radar Coastal Surveillance System (CSS) serta tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan Op BENTENG BERSAMA dibawah pemerintahan Komander AngkatanTugas Bersama 2 (ATB 2).
Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki dewasa warga Malaysia berusia 32 tahun (agen) dan kesemua PATI merupakan warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau. Mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa berusia 38 dan 53 tahun, tiga wanita dewasa berusia dari 30 hingga 52 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia 9 dan 11 tahun. Kesemua PATI hanya membawa barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang terlarang.
Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 3.15pagi menggunakan sebuah kenderaaan tentera pacuan empat roda, bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah manakala agen warganegara Malaysia tersebut ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Komander ATB 2, menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang bertugas di POWB ATB 2, anggota operator Radar CSS, Tim QRF dan IPD Tawau di atas sokongan pelaksanaan operasi ini. Kejayaan ini membuktikan ATB 2 sentiasa komited terhadap menjaga keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan ESSZONE Sabah. ATB 2 sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara serta ditangani secara serius dalam menghindar sebarang ancaman keselamatan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, khasnya di Pantai Timur Sabah ini.