SANDAKAN, 31 Dis 2021 – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menerusi Radar CSS (Coastal Surveillance Station) telah berjaya mengesan sebuah bot nelayan karam yang berada di luar sempadan perairan Malaysia pada jam 9.50 pagi. Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah bertindak menyalurkan maklumat berkenaan kepada Pegawai Staf 2 Udara Malaysia Maritime Command Centre (MCC) untuk tindakan dan pengesahan maklumat. Malaysia MCC telah bertindak menyalurkan maklumat berkenaan kepada Philippine Maritime Command Centre (MCC) untuk menyelaras operasi menyelamat luar sempadan perairan Malaysia.
Pada jam 10.50 pagi, sebuah operasi menyelamat telah dilaksanakan oleh Pasukan Marin Filipina dari Pulau Taganak. Hasil maklumat yang diperolehi dari Filipina MCC di Tawi-Tawi, operasi menyelamat kesemua awak-awak bot karam oleh Pasukan Marin Filipina telah berjaya dilaksanakan. Bot yang didaftarkan sebagai ML RIHANA tersebut telah karam di kedudukan 2.3 batu nautika dari Timur Laut Pulau Bakungan Kecil. Seramai 10 orang awak-awak bersama seorang Tekong warganegara Filipina telah berjaya diselamatkan oleh Marin Filipina. Kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan parah. Kejadian dipercayai berlaku disebabkan kebocoran di bahagian badan bot kerana pukulan ombak yang kuat. KD PAUS telah dihubungi oleh POWB ATB 2 untuk diaturgerakkan ke sekitar lokasi bot nelayan Filipina karam bagi tujuan pemantauan dan keselamatan. Maklumat kejadian turut disalurkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk tindakan selanjutnya.