ATB 2 TAHAN PATI

TAWAU – 12 Jan 22 pada jam 3.40 petang, Tim Quick Reaction Force (QRF) di bawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah berjaya mengagalkan cubaan 14 PATI warganegara Indonesia yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau. Cubaan kumpulan ini digagalkan oleh Tim QRF yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA yang menggunakan sebuah pacuan empat roda, telah melihat sebuah bot laju yang mencurigakan telah merapat ke kawasan Jeti Pemunggahan Balak, Kampung Hidayat.
Bot yang membawa PATI kemudiannya beredar secara tergesa-gesa dari kawasan tersebut selepas menurunkan kesemua PATI ke daratan dan Tim QRF telah bertindak mengepung dan menahan kesemua PATI tersebut. Tiga PATI lelaki dewasa yang terkejut dengan kehadiran Tim QRF cuba melarikan diri dari ditahan namun tindakan mereka sia-sia kerana berjaya dipatahkan oleh Tim QRF. Tim QRF seterusnya melaporkan kejadian tersebut kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 untuk diambil tindakan lanjut.
Hasil pemeriksaan awal terhadap 14 PATI mendapati mereka merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau. Mereka terdiri daripada empat lelaki dewasa berusia 20 hingga 53 tahun, enam wanita dewasa berusia 17 hingga 69 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki berusia 3 hingga 9 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun ditemui bersama barang persendirian. Mereka dimaklumkan telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Skip to content