TAWAU – 5 Jan 22 pada jam 10.15 malam, Tim Quick Reaction Force (QRF) di bawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah berjaya mengagalkan cubaan tujuh PATI warganegara Indonesia yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau. Cubaan kumpulan ini digagalkan oleh Tim QRF yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA setelah menerima aduan daripada penduduk kampung tentang kehadiran PATI yang telah menaiki kenderaan jenis MPV di Kampung Kurnia Jaya, Tawau.
Tim QRF telah mendapatkan butir kenderaan yang dinaiki PATI dan berjaya mengesan kedudukan kenderaan tersebut, bertindak mengekori kenderaan yang disyaki sehingga ke Terminal Bas Tawau bagi membuat pemeriksaan dan pengesahan PATI tersebut. Kenderaan yang membawa PATI tersebut telah bertindak menurunkan kesemua penumpang dan melarikan diri dengan memecut laju kenderaan bagi mengelakan diri dari ditahan selepas menyedari kehadiran Tim QRF.
Hasil pemeriksaan terhadap tujuh PATI mendapati mereka merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia bagi mendapatkan peluang pekerjaan di Sabah. Kesemua PATI tersebut adalah lelaki dewasa berusia antara 22 hingga 80 tahun ditemui bersama barang persendirian. Mereka dimaklumkan telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke Terminal Bas Tawau.
POWB ATB 2 telah memaklumkan kejadian tersebut kepada SUB PUSOP ESSCOM di Tawau dan memohon Tim Op Cegah PATI Daratan Tawau membantu bagi melancarkan proses tangkapan tersebut. Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tawau pada jam 2.30 pagi menggunakan kenderaan mengangkut pesalah PDRM. Kesemua PATI diserahkan kepada IPD Tawau bagi proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya.