AUDIT KESIAGAAN MALBATT

MARAKAH, 16 Februari 2023 – Setiap Perkhidmatan dan Bahagian dalam Angkatan Tentera Malaysia mempunyai audit dan pemeriksaan pakar serta teknikal yang perlu dilaksanakan secara berkala atau berdasarkan keperluan khas. Justeru itu, Markas Angkatan Bersama (MK AB) telah melaksanakan audit kesiapsiagaan ke atas Kontinjen MALBATT 850-10 bertempat di UNP 2-1, Kem Marakah hari ini. Pelaksanaan audit yang melibatkan gabungan dari ahli tim daripada MK AB dan perkhidmatan yang diketuai oleh Asisten Ketua Staf (AKS) Bahagian J5 MK AB, Laksma Hj Muhammad Rodhi bin Arifin ini adalah sejajar dengan konsep raise, train and maintain yang kekal di bawah tanggungjawab setiap perkhidmatan. Tujuan utama pelaksanaan audit ini adalah untuk menilai tahap keupayaan, kesiagaan dan keberkesanan operasi, tadbir dan logistik MALBATT 850-10. Hasilnya, Tim Audit dapat mencadangkan penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan operasi, tadbir dan logistik MALBATT 850-10 di tahap yang baik dan efektif. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan keupayaan operasi MALBATT di Lubnan dan membantu MK AB membuat perancangan di masa hadapan.
Skip to content