Eksesais BS23 merupakan Eksesais Gabungan tahunan antara Angkatan Tentera negara-negara Five Power Defence Arrangements (FPDA) iaitu Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom. Eks BS 23 akan dilaksanakan secara Field Training Exercise bermula dari 27 April 2023 sehingga 12 Mei 2023 di sebahagian kawasan perairan, darat serta udara Semenanjung Malaysia dan Singapura termasuk kawasan perairan serta udara Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di Laut China Selatan. Eksesais pada kali ini melibatkan penglibatan 4 buah kapal perang, 1 buah helikopter maritim, 2 buah pesawat pengawasan maritim, 7 buah pesawat bantuan , 20 buah pesawat pejuang dan 2 x Unit Ground Based Air Defence (GBAD) serta anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera negara-negara FPDA. Bersesuaian dengan falsafah perjanjian FPDA yang bersifat defensif, eksesais ini bukanlah sebagai satu bentuk ancaman kepada negara-negara sekitar tetapi ianya adalah latihan yang telah dirancang sesuai dengan tahap profesionalisme Angkatan Tentera negara-negara FPDA.