Eksesais Gempur Bara ini merupakan aturgerak penjajaran secara praktikal bagi menyelamat tebusan yang menggabungkan penglibatan secara bersama Pasukan Khusus atau special forces dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Aturgerak ujian ini melibatkan elemen dari Grup Gerak Khas (GGK) Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Very Able Troopers 69 (VAT 69) PRDM. Pelaksanaan aturgerak ini bagi menguji tahap kompetensi terhadap tugas dan peranan yang perlu dilaksanakan melibatkan kesemua elemen-elemen pasukan khusus yang berada dibawah kawalan operasi ATB 2 yang sedang melaksanakan operasi di Op PASIR Pantai Timur Sabah.
Eksesais ini telah dilaksanakan selama lima hari bermula dari 5 Feb 22 dan berakhir pada 9 Feb 22 dimana aturgerak awalan menyelamatkan tebusan telah dilaksanakan di Mock Up Rumah Air di Kem Sri Wangsa, dan pada hari ini di Pulau Siamil adalah pelaksanaan senario aturgerak bagi mematahkan aktiviti penculikan. Objektif eksesais ini adalah bagi memperkasakan jalinan saluran pemerintah MK ATB 2 dengan agensi-agensi keselamatan lain serta pasukan yang sedang beroperasi disini. Pelaksanaan aturgerak secara bersepadu ini bagi mengeratkan lagi kerjasama operasi di antara Pasukan Khusus ATM dan PDRM di Pantai Timur Sabah khasnya melibatkan aspek aplikasi Taktik, Teknik dan Prosedur di peringkat operasi taktikal. Selain itu juga, eksesais ini bagi menguji tahap kesiagaan aset di bawah pemerintahan MK ATB 2 disamping meningkatkan lagi tahap kompetensi anggota pasukan khusus yang beroperasi di Pantai Timur Sabah dalam pelaksanaan atugerak khasnya Op PASIR.
Eksesais ini merupakan eksesais pertama bagi ATB 2 dalam menggabungkan pasukan khusus ATM dan PDRM yang beroperasi dalam KTJ yang sama di ESSZONE ini. Gabungan kerjasama serta sokongan terhadap pelaksanaan aturgerak eksesais ini membuktikan bahawa setiap elemen pasukan keselamatan daripada pelbagai agensi sentiasa komited terhadap memperkasakan kawalan keselamatan dan kedaulatan negara. Melalui pencapaian aturgerak eksesais ini juga turut membuktikan bahawa pasukan keselamatan adalah sebuah organisasi yang kredibel peranannya dalam menangani sebarang ancaman tradisional atau ancaman non-tradisional dan sentiasa memastikan berkeupayaan dalam melindungi serta mempertahankan kepentingan persempadanan dan maritim negara pada sebilang masa khasnya di Pantai Timur Sabah.