KUANTAN, 15 Julai 2022 – Markas Angkatan Bersama (MK AB) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-15 penubuhannya bertempat di Kompleks MK AB di Jalan Panching, Kuantan, Pahang dan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama (PAB), Lt Jen Dato’ Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM. Majlis HUT ini diadakan sehari awal dari tarikh sambutan sebenar iaitu pada 16 Julai, yang jatuh pada hari Sabtu (cuti hujung minggu). Perbarisan dilaksanakan secara statik, disertai seramai 88 pegawai dan 70 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan (Tentera Darat, Tentera, Laut dan Tentera Udara) serta kakitangan awam yang diketuai oleh Kolonel (Dr) Mohd Jeffery bin Jalaluddin. Turut diadakan ialah penyampaian hadiah kepada pemenang mencipta tema HUT ke-15 MK AB yang telah dimenangi oleh BM PAP (PKL) Mohd Izal Fahmi bin Zainal Abidin dari J3-Op Khas MK AB dengan temanya “BERJUANG BERSAMA, KEDAULATAN TERPELIHARA” serta Pelancaran Portal Rasmi MK AB oleh PAB. Sebagai simbolik kepada sambutan penubuhan, turut diadakan acara memotong kek HUT. Majlis diteruskan lagi dengan tahlil, doa selamat dan khutbah khas yang diadakan di Masjid Al-Ikhwan Desa Tentera Darat Sungai Panching.