KUNJUNGAN HORMAT KOMANDER ATB 2 KEPADA PERWAKILAN REPUBLIK INDONESIA

TAWAU 10 Jan 23 – Brig Jen Wan Edenin bin Wan Mahsin Panglima Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Kepala Perwakilan Republik Indonesia, Ibu Heni Hamidah di Pejabat Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, petang tadi. Kehadiran Komander ATB 2 telah disambut mesra oleh Ibu Heni Hamidah dan staf-staf KRI Tawau. Dalam pertemuan singkat tersebut, beberapa perkara berkaitan kerja sama diantara ATB 2 dan KRI Tawau telah dibincangkan. Perbincangan menjurus kepada perkongsian maklumat membabitkan isu penyeludupan, jenayah rentas sempadan, imigrasi kedua-dua negara, dan isu-isu semasa di Pantai Timur Sabah.
Panglima ATB 2 mengharapkan agar ATB 2 dan KRI Tawau akan terus mengekalkan ikatan silaturahim di antara satu sama lain serta dapat meningkatkan kerjasama dalam memperkukuhkan keselamatan perairan serantau. Turut serta dalam kunjungan hormat ini adalah Kol Wan Amir Zaki bin Wan Hassan TUDM Ketua Staf ATB 2, Kdr Noor Azley bin Othman TLDM Pengarah Malaysia Maritime Command Centre (MCC), dan Mej Rohayu binti Shahrudin TUDM Ketua Sekretariat ATB 2. Panglima ATB 2 turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian KRI Tawau menerima kunjungan persahabatan dari ATB 2. Beliau berharap kerjasama di antara kedua agensi ini dapat diteruskan lagi di masa yang akan datang. Sebagai tanda persahabatan dan kerjasama erat antara ATB 2 dan KRI Tawau, kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi penyerahan cenderahati dari kedua-dua pihak sebagai tanda kenangan.
Skip to content