LAPAN PATI DITAHAN ATB 2

Tim Quick Reaction Force (QRF) dibawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2) telah berjaya menahan seramai lapan PATI warganegara Indonesia, yang menyusup masuk ke Sabah secara haram melalui perairan Tawau. Hasil tinjauan dan intipan yang dilaksanakan oleh Tim QRF sekitar jam 4.15 petang, Tim QRF telah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menurunkan seramai lapan orang PATI bersama barangan persendirian secara berkumpulan di Kampung Titingan, Tawau.
Sebuah kenderaan jenis teksi dipercayai turut terlibat dalam kegiatan pencerobohan PATI tersebut, apabila kelihatan membawa kesemua PATI tersebut keluar dari kawasan pendaratan PATI. Tim QRF telah bertindak mengekori teksi tersebut sehingga teksi tersebut bertindak menurunkan kesemua PATI di di Jalan Chen Fook dan melarikan diri setelah menyedari telah diekori oleh Tim QRF. Kejayaan ini membuktikan ATB 2 melalui kawalan yang lebih kukuh dipersempadanan negara dengan analisa terperinci terhadap modus operandi ancaman semasa mampu menumpaskan jenayah rentas sempadan ini.
Tim QRF telah bertindak menahan kesemua individu tersebut bagi melaksanakan pemeriksaan awal dokumen. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI memiliki dokumen pengenalan diri warganegara Indonesia iaitu passport dan permit kerja yang sah tetapi tiada cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah dan cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau. Mereka terdiri daripada enam lelaki dewasa berusia antara 22 hingga 40 tahun, seorang wanita dewasa berusia 39 tahun dan seorang bayi perempuan berusia dua tahun serta tiada penemuan barang-barang terlarang. Kesemua PATI memaklumkan bahawa mereka berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Sabah bertujuan kembali ke tempat kerja setelah bercuti melawat keluarga di Indonesia.
Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan telah diarahkan untuk membawa kesemua PATI tersebut ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membuat laporan polis sekitar jam 7.00 petang. Kesemua PATI beserta barangan persendirian telah diserahkan kepada IPD Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut PDRM. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Skip to content