LAHAD DATU 18 April 2022 – Brig Jen Abdul Karim bin Ahmad, Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2) telah melaksanakan lawatan kerja beliau di Kawasan Tanggungjawab Operasi (KTJ) pada 16 Apr 22 di Pos Tungku dan Pos Bakapit. Ketibaan KATB dan delegasi lawatan telah disambut oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-9 Rejimen Renjer Diraja (9RRD), serta pegawai dan anggota operasi.
Beliau turut berkesempatan meluangkan masa untuk turut serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Markas Taktikal Kem JPG, Lahad Datu. Selesai majlis berbuka puasa dan Solat Tarawih, Komander ATB 2 telah berbesar hati menyampaikan Surat Ucapan Tahniah kepada anggota yang berjaya membuat tangkapan Pendatang Tanpa Izin (PATI) pada 5 Feb 2022 di Kg Batu 4, Tawau.
Beliau turut menyampaikan amanat dan kata-kata semangat kepada semua pegawai dan anggota yang beroperasi agar sentiasa mempamerkan semangat tinggi dalam melaksanakan tugas walaupun ketika menjalani ibadah puasa. Beliau turut mengingatkan agar sentiasa telus dalam menjalani tugas dan tanggungjawab serta tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan Perairan Pantai Timur Sabah. Turut hadir dalam lawatan kerja tersebut adalah Ketua Operasi ATB 2 serta deligasi dari Mk ATB 2.