SABAH, 14 Januari 2022 – Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein telah mengadakan lawatan ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2). Lawatan ini adalah untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dan terperinci berhubung perkembangan terkini pelaksanaan ESSCOM serta situasi semasa keselamatan Sabah. Selain daripada menambahbaik inisiatif-inisiatif sedia ada di bawah ESSCOM, ia juga bagi mengkoordinasi perancangan ke hadapan demi memperkukuh pertahanan di negeri Sabah ini terutama di ESSZone dengan bersandarkan bentuk ancaman semasa.
Bagi memperkasakan lagi usaha keselamatan dan pertahanan Sabah, beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan. Antaranya ialah pembinaan satu kem baharu bagi tentera darat pada tahun ini di Felda Sahabat, Lahad Datu serta merancakkan dan memperkasakan lagi inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) melibatkan kerjasama angkatan tentera Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi. Turut serta, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz serta pegawai-pegawai kanan awam dan tentera Kementerian Pertahanan.