MAJLIS PEMAKAIAN BERET PBB, PENYERAHAN BENDERA MALAYSIA DAN PENGHANTARAN KUMPULAN PERTAMA MALAYSIAN BATTALION 850-10 KE LUBNAN

SUBANG, 27 Oktober 2022, Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-10 telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein. Majlis tersebut diadakan bertempat di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang. MALBATT 850-10 telah menjalani latihan khusus selama 3 bulan yang merangkumi sebulan latihan perkhidmatan tunggal dan 2 bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama bertempat di Perkampungan MALBATT, Port Dickson, Negeri Sembilan.
MALBATT 850-10 telah bersedia untuk diaturgerakkan ke Lubnan bagi menggantikan MALBATT 850-9 yang akan menamatkan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) setelah berkhidmat 12 bulan.MALBATT 850-10 yang keseluruhan anggota berjumlah 854 anggota terdiri dari 84 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan. MALBATT 850-10 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan 4 peringkat penghantaran. Penghantaran Kumpulan Pertama melibatkan seramai 214 orang dan akan diketuai oleh Komander MALBATT 850-10, Kolonel Mohd Rizman bin Hj Ramli bersama 49 Pegawai dan 165 anggota lain-lain pangkat.
MALBATT 850-10 akan meneruskan misi UNIFILdi bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. MALBATT 850-10 akan ditempatkan di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan. Malaysia Airlines telah diberi tanggungjawab oleh ATM dan Kementerian Pertahanan untuk menerbangkan Kontijen MALBATT 850-10 ke Lubnan dan penerbangan pulang Kontijen MALBATT 850-9 ke tanah air. Malaysia Airlines berbesar hati kerana diberi peluang untuk menerbangkan pasukan pengaman negara bersama-sama pihak ATM dan Kementerian Pertahanan bagi memberikan bantuan kemanusiaan di Lubnan untuk tahun keempat berturut-turut.
Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines menggalas tanggungjawab ini dengan menyediakan beberapa penerbangan khas menggunakan pesawat Airbus 330-200 dengan 3 Juruterbang dan 10 orang kru kabin untuk setiap penerbangan. Ini adalah satu penghormatan kepada syarikat penerbangan negara apabila diberi kepercayaan dan peluang untuk membawa bendera Malaysia ke seluruh dunia dalam misi kebangsaan. Majlis Pemakaian beret PBB diadakan secara simbolik dan dipakaikan kepada Komander MALBATT 850-10, wakil ketiga-tiga perkhidmatan (TD,TLDM, TUDM), wakil ABDB, wakil anggota wanita dan anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM. Kerajaan Malaysia telah meluluskan penglibatan ATM dalam misi UNIFIL sejak tahun 2007 bagi membantu pasukan pengaman dari lain-lain negara anggota PBB menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Buat pertama kalinya selepas dua tahun majlis penghantaran Kontinjen MALBATT 850-10 telah dihadiri oleh ahli keluarga pegawai dan anggota.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Panglima Angkatan Tentera, Pesuruh Jaya Tinggi Kedutaan Brunei Darussalam, KSU Kementah, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan ABDB serta Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.
Skip to content