MAJLIS PEMBUBARAN MALBATT 850-8

ORT DICKSON, 1 Disember 2021 – Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) kepada Malaysian Battalion 850-8 (MALBATT 850-8) telah disempurnakan oleh Jeneral Tan Sri Dato Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.
Penganugerahan Pingat PNBB kepada Kontinjen MALBATT 850-8 adalah bagi mengiktiraf kejayaan Pasukan tersebut semasa menjalankan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah PBB di Lubnan selama setahun mulai 14 November 2020 lalu.
MALBATT 850-8 diketuai oleh Kolonel Azudin bin Hassan selaku Komander MALBATT 850-8. Kontinjen MALBATT 850-8 dianggotai oleh seramai 854 anggota terdiri dari 83 pegawai dan 771 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.
Sepanjang penugasan di bumi Lubnan, Kontinjen MALBATT 850-8 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sehingga mendapat pelbagai pengiktirafan daripada Markas UNIFIL sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.
Buat pertama kalinya MALBATT telah menerima sijil pengiktirafan Environmental Complience daripada UNIFIL sejak diaturgerak 13 tahun lalu bagi semua kem-kem MALBATT iaitu Kem Marakah, Kem Tibnin, Kem Harris dan Entry Point (EP) 00.
Kontinjen MALBATT 850-8 juga diiktiraf sebagai batalion terbaik dibawah sektor barat dan juga diiktiraf oleh Komander UNIFIL sebagai role model kepada batalion-batalion yang lain. Selain itu MALBATT 850-8 berjaya mengekalkan reputasi baik selaku pasukan pengaman yang disegani oleh masyarakat setempat dan antarabangsa.
Sebagai mengiktiraf segala usaha yang telah ditunjukan oleh MALBATT 850-8, Angkatan Tentera Malaysia telah menganugerahkan, Anugerah Kecemerlangan kepada Komander MALBATT 850-8.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Panglima-panglima Perkhidmatan, Panglima Angkatan Bersama dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.
Skip to content