KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2022 – Majlis Pembubaran Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao – 16 (TPA-M16) telah disempurnakan oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera (PAT) bertempat di Wisma Perwira ATM Kuala Lumpur. TPA-M16 ini yang diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Hj Hamdan bin Ismail, telah selamat kembali ke tanah air pada malam 30 Jun 2022 yang lalu. Turut diadakan adalah pemakaian Combat Kagitingan Badge oleh PAT. Lencana ini dianugerahkan oleh Angkatan Tentera Filipina kepada TPA-M16 atas keberanian dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang melaksanakan misi di Mindanao, TPA-M ditubuhkan bagi melaksanakan tugas-tugas berpandukan kepada Terms of Reference (TOR) bagi memantau perjanjian gencatan senjata yang melibatkan pihak Government of Philippines (GPH) dan Moro Islamic Liberation Front (MILF). TPA-M16 telah berjaya menentukan proses damai tersebut berjalan dengan lancar dengan membawa kedua pihak ke meja rundingan dalam setiap insiden yang berlaku. Sejak penglibatan TPA M pada 10 Oktober 2004 selaku pemantau di dalam ‘konflik Mindanao’, beberapa pencapaian positif telah terhasil bagi merealisasikan perdamaian yang berterusan di antara kedua-dua pihak. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pegawai Kanan ATM dan PDRM.