MAJLIS PENAMAAN KEM AL-SULTAN ABDULLAH MK AB

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada hari ini telah berkenan mencemar duli ke Majlis Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama (MK AB) di Jalan Panching, Kuantan, Pahang. Baginda turut menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Mej Mohd Noorazmin bin Abd Rahim. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM melibatkan pasukan yang dari Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP), 1 Kor Armor Diraja, 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), 4 Skuadron Semboyan Briged dan No 10 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia. Aset yang digunakan adalah 1 x pesawat helikopter EC 725, kenderaan FFR GK MK1 dan motorsikal scrambler. Seri Paduka Baginda juga telah berkenan menandatangani plat penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama sebagai Kem Al-Sultan Abdullah. Selain itu Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai peranan serta fungsi MK AB bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berkesempatan berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas operasi PASIR di Sabah serta yang bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Skip to content