Semporna 26 Ogos 22 – Brig Jen Abdul Karim bin Ahmad, Komander ATB 2 telah menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Pengendalian Bot Tempur Siri 2/22 yang telah berlangsung bertempat di Kem Azumi, Semporna. Kursus Pengendalian Bot Tempur ini merupakan anjuran Bahagian Pengawasan, Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2). Seramai 30 penuntut kursus telah berjaya menamatkan Kursus Pengendalian Bot Tempur yang telah dilaksanakan selama dua minggu bermula 14 hingga 26 Ogos 22. Penyampaian sijil dan pemakaian patch bot tempur bagi Kursus Pengendalian Bot Tempur Siri 2/22 telah disempurnakan oleh Komander ATB 2 kepada kesemua penuntut sebagai simbolik yang melayakkan mereka untuk mengendalikan bot tempur.
Objektif utama penganjuran kursus ini adalah bagi melatih dan melahirkan jurumudi bot tempur yang cekap, terlatih dan berkebolehan dalam pengendalian bot berjentera serta mahir dalam aspek keselamatan dan undang-undang perairan. Sepanjang tempoh ini penuntut telah didedahkan dengan beberapa latihan dan aktiviti dalam memastikan objektif pelaksanaan kursus tercapai dengan jayanya. Kesemua tenaga pengajar yang terlibat dimana menjayakan kursus ini merupakan jurulatih dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK). Penganjuran Kursus Pengendalian Bot Tempur ini merupakan kerjasama antara MK ATB 2 dan PULPAK. Sijil kursus ini turut diperakui oleh PULPAK dan MK PLDTD demi memastikan kualiti pencapaian kursus ini menepati standard yang telah ditetapkan.
Sebelum merasmikan majlis penutup kursus, Komander ATB 2 dalam ucapannya, merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang telah berjaya menamatkan kursus ini. Beliau turut mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan bantuan jurulatih yang diterima dari PULPAK Cawangan Amfibi khasnya dalam memasikan tahap pencapaian kursus ini menepati standard yang telah ditetapkan. Beliau turut mengingatkan para penuntut agar sentiasa menjaga imej Skuadron Bot Tempur khususnya dan ATB 2 amnya. Beliau juga berharap agar dapat melihat sumbangan serta pencapaian yang boleh dibanggakan di atas penglibatan para penuntut pada masa akan datang di dalam operasi, terutamanya di Pantai Timur Sabah. Majlis telah dilaksanakan dengan jayanya dan diakhiri dengan, bacaan doa serta sesi bergambar sebagai tanda kenangan.