TAWAU 10 JAN 22 – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah melaksanakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pengawasan ATB 2 dan penyerahan peralatan operasi yang bertempat di pekarangan MK ATB 2. Majlis pada pagi ini menyaksikan acara Serah Terima Tugas Ketua Pengawasan ATB 2 di antara Lt Kol Abdul Rahim bin Jusoh TUDM dan Lt Kol Tengku Azriman bin Tengku Abdullah TUDM dengan disaksikan oleh Brig Jen Abdul Karim bin Ahmad, Komander ATB 2. Lt Kol Abdul Rahim bin Jusoh TUDM telah menyumbangkan khidmat bakti di MK ATB 2 selama setahun empat bulan, bermula 3 Sep 20 hingga 10 Jan 22. Selama tempoh tersebut, beliau telah banyak membantu dalam merancang dan mengkoordinasikan pengoperasian Op PASIR dengan jayanya di ATB 2. Beliau akan bertukar keluar ke Electronic Warfare Support Centre (EWSC) Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) dan akan menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah MPOU-EWSC berkuatkuasa pada 4 Jan 22.
Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada Lt Kol Tengku Azriman bin Tengku Abdullah TUDM atas pelantikan sebagai Ketua Pengawasan yang baharu. Selamat melaksanakan tugas dan amanah serta dapat meneruskan kecemerlangan perkhidmatan sebagai Ketua Pengawasan di MK ATB 2. Sebagai tanda penghargaan dan kenangan, Komander ATB 2 telah menyerahkan cenderahati sebagai tanda terima kasih atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh Lt Kol Abdul Rahim bin Jusoh TUDM pada MK ATB 2 sepanjang penugasan beliau di ATB 2. Majlis diteruskan dengan penyerahan peralatan operasi oleh Komander ATB 2 kepada bahagian Operasi ATB 2, iaitu penyerahan pelitup muka kepada Pegawai Staf J9, penyerahan losyen pelindung matahari kepada Ketua Skuadron Bot dan diakhiri dengan penyerahan floating body proof vest kepada Ketua Tim QRF.