Brigedier Jeneral Abdul Karim bin Ahmad Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2) telah menyempurnakan majlis Pemakaian Pangkat dan penyerahan Sumbangan Kebajikan kepada tujuh anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATB 2 yang telah dilaksanakan bertempat di Foyer MK ATB 2. Majlis dimulai dengan acara pemakaian pangkat kepada seorang Pegawai dan 17 orang anggota LLP yang telah dinaikkan ke pangkat masing – masing, iaitu 15 orang dari perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dua orang dari perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM). Komander ATB 2 mengucapkan tahniah kepada kesemua anggota yang telah dinaikkan pangkat pada hari ini, serta dapat mempamerkan mutu disiplin yang tinggi demi menggalas amanah dan tanggungjawab seiring dengan pangkat yang disandang. Semoga pemakaian pangkat pada hari ini dapat memberikan suntikan moral dan semangat kepada anggota untuk meningkatkan lagi prestasi kerja serta berusaha dengan lebih gigih dan dedikasi dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Majlis seterusnya diteruskan dengan acara penyerahan Sumbangan Kebajikan kepada tujuh anggota LLP ATB 2, yang mempunyai waris di hospital, anggota yang baru mendirikan rumah tangga dan menyambut kelahiran anak sebagai tanda ingatan dan ucapan tahniah kepada keluarga anggota-anggota tersebut. Majlis pada pagi ini turut disaksikan oleh Ketua Staf, Pengarah MCC, Ketua-ketua Bahagian dan semua Pegawai serta anggota MK ATB 2.
- Markas Angkatan Bersama
- Berita
- PEMAKAIAN PANGKAT DAN SUMBANGAN KEBAJIKAN ATB 2