PEMBUBARAN MALBATT 850-9

Port Dickson, 5 Dis 22- Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera telah menyempurnakan Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) Malaysian Battalion 850-9 (MALBATT 850-9). Kontinjen ini diketuai oleh Kolonel Megat Maz Ardi bin Nohuddin, dengan kekuatan keseluruhan seramai 854 anggota yang terdiri dari 83 pegawai dan 771 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 85 pegawai dan anggota wanita serta 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB)) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan Malaysia.
Kontinjen ini telah melaksanakan tugas selama setahun bermula 13 November 2021 di Lubnan bagi melengkapkan penugasan sebagai pasukan pengaman dalam misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) dan tamat penugasan pada 12 November 2022 Secara totalnya MALBATT 850-9 telah berjaya menguruskan sebanyak 24,198 aktiviti pengoperasian melibatkan Independent and Coordinated Activity With Lebanese Armed Forces (COAWL) di Kawasan Tanggungjawab MALBATT berkeluasan 288 KM persegi yang merupakan Kawasan Tanggungjawab yang paling besar di bawah UNIFIL meliputi keseluruhannya 48 Municipalities disamping menguatkuasakan Mandat dan Resolusi United Nation Security Council (UNSC) 1701. Anggota MALBATT 850-9 telah mempamerkan sifat profesional tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman yang menjadikan Malaysia terkenal dan disenangi oleh semua pihak di bumi Lubnan. Penerimaan masyarakat di sana terhadap kontinjen kita sememangnya amat positif terutama hasil dari kejayaan dan keberkesanaan aktiviti Civil-Military Co-operation atau CIMIC yang dirancang secara tersusun.
Aktiviti seperti Run for Peace 2022 yang melibatkan interaksi warga MALBATT, batallion Trup UNIFIL dan juga masyarakat setempat dan pencapaian tempat ke-3 dalam pertandingan Environmental Award merupakan sesuatu yang amat signifikan dalam mendukung kejayaan MALBATT 850-9 sepanjang berada di sana. Lebih membanggakan Komander MALBATT 850-9, iaitu Kolonel Megat Maz Ardi bin Nohuddin, telah dikurniakan Pingat pengiktirafan daripada negara Italy iaitu π˜Ύπ™§π™€π™˜π™š π˜Ύπ™€π™’π™’π™šπ™’π™€π™§π™–π™©π™žπ™«π™– π™‹π™šπ™§ 𝙇𝙖 π™‹π™–π™§π™©π™šπ™˜π™žπ™₯π™–π™―π™žπ™€π™£π™š π˜Όπ™‘π™‘π™š π™Šπ™₯π™šπ™§π™–π™―π™žπ™€π™£π™ž π˜Ώπ™ž π™‹π™–π™˜π™š yang disampaikan sendiri oleh Komander Sektor Barat UNIFIL. Beliau merupakan Komander pertama dari MALBATT yang mendapat pengiktirafan tersebut. Kejayaan yang dicapai oleh setiap kontinjen dalam misi di Lubnan ini merupakan kejayaan keseluruhan ATM yang menyokong dasar Kerajaan dalam pembinaan dan pemerkasaan hubungan antarabangsa bagi konteks jaringan diplomasi ketenteraan dan pertahanan. Ini seterusnya membuatkan Malaysia terus dipercayai dan diyakini dalam melaksanakan tugas-tugas demi keamanan sejagat di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Turut hadir menyaksikan majlis in adalah Pemerintah Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Hj Alirupendi bin Hj Perudin dan Pegawai Kanan ATM.
Skip to content