PORT DICKSON, 20 Julai 2022 – Perbarisan Perasmian Pembukaan Force Integration Training (FIT) bagi Malaysian Battalion (MALBATT) 850-10 misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di MALBATT Village disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama (MK AB), Mejar Jeneral Dato’ Hj Md Fauzi bin Saleh TUDM. Seramai 916 Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei terlibat dengan FIT yang dijadual dilaksanakan selama 8 minggu bermula pada 18 Julai hingga 9 September 2022. Perbarisan kali ini menampilkan keunikannya yang tersendiri apabila elemen Combat Rescue Team (CRT) melaksanakan demonstrasi Pengiring Orang Kenamaan (POK). Turut disaksikan teknik kepakaran sniper dan fast roping dari pesawat. Bukan sekadar itu, bahkan penyerahan plaka logo MALBATT 850-10 yang dibawa oleh Ketua Konvoi cuba dirampas oleh pengganas, namun digagalkan dengan kecekapan dan ketangkasan tim CRT yang membuat tugas kawalan keselamatan. Sekaligus menandakan logo MALBATT 850-10 telah dirasmikan. FIT adalah salah satu pengisian kepada program Pre-Deployment Training untuk meningkatkan pengetahuan dan kecekapan anggota dengan ilmu yang berkaitan dalam semua aspek bidang penugasan. Selain itu, ianya turut berupaya meningkatkan tahap kesiagaan fizikal dan mental serta memupuk nilai-nilai teras perkhidmatan yang tinggi dalam diri anggota MALBATT 850-10. Turut serta dalam acara ini ialah Kolonel Mohd Rizman bin Hj Ramli, Komander MALBATT 850-10, Kolonel Azzuddin bin Hasan, Komandan Pusat Pengaman Malaysia dan Kolonel Mohammad Noruladzim bin Hj M. Taifor TUDM, Pengarah J3 Operasi Global, MK AB.