KUANTAN, 21 November 2022- Laksamana Pertama Baharudin bin Wan Md Nor, Timbalan Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama (MK AB) telah merasmikan Eksesais CARAT 2022 di Pusat Olah Perang, Kem Al-Sultan Abdullah, MK AB. Eksesais ini melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) dari Fleet Ketujuh yang bermula pada 21 sehingga 30 November 2022 di sekitar Kuantan dan perairan Laut China Selatan.
Eksesais ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan tentera kedua-dua negara dalam aspek maritim di laut dan bagi memupuk, menyelaras, berkongsi serta mendapatkan kefahaman yang lebih baik terhadap persekitaran operasi. Selain itu eksesais ini juga bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan tempur dan perkongsian keselamatan maritim diantara kedua-dua negara selaras dengan undang-undang, norma dan piawaian antarabangsa.
Konsep Eksesais CARAT 22 adalah berdasarkan kepada keselamatan Maritim (Maritime Security) yang mana akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan (bermula 21 sehingga 25 November) dan Fasa di Laut (bermula 26 sehingga 29 November).Eksesais CARAT 22 pada kali ini melibatkan seramai 303 orang peserta dari ATM serta 300 orang peserta TLAS. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Captain Muszaffar Khan, Defence Attache Office Kedutaan Amerika Syarikat dan Captain Walter Mainor, Commander Destroyer Squadron 15 serta wakil dari ketiga-tiga perkhidmatan ATM.