Port Dickson, 3 Disember 2020 – Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) kepada Malaysian Battalion 850-7 (MALBATT 850-7) telah disempurnakan oleh Jeneral Tan Sri Dato Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA). Turut hadir pada majlis tersebut adalah Panglima-panglima Perkhidmatan, Panglima Angkatan Bersama dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.
MALBATT 850-7 diketuai oleh Kolonel Khairul Anwar bin Soib selaku Komander MALBATT 850-7. Kontinjen MALBATT 850-7 dianggotai oleh seramai 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.
Penganugerahan Pingat PNBB kepada Kontinjen MALBATT 850-7 adalah bagi mengiktiraf kejayaan Pasukan tersebut semasa menjalankan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah PBB di Lubnan selama setahun mulai 17 Oktober 2019 lalu. Sepanjang penugasan di bumi Lubnan, Kontinjen MALBATT 850-7 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa. Kontinjen MALBATT 850-7 juga berjaya mengekalkan reputasi baik selaku pasukan pengaman yang disegani oleh masyarakat setempat dan antarabangsa.
#BerjuangBersama
#KitaJagaKita
#DipersadaAntarabangsa
#MALBATT850-7