KUANTAN, 7 Disember 2022- Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Bersama (PAB) ke-13, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM telah diadakan bertempat di Kem Al Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama (MK AB), Kuantan. Perbarisan seramai 60 pegawai, 70 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan kakitangan awam seramai 20 orang diketuai oleh Kepten Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM diadakan sebagai penghargaan seluruh warga Markas ini kepada Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM yang telah menerajui MK AB semenjak dari 17 Februari 2020 sehingga 5 Disember 2022. Beliau yang merupakan anak jati Pulau Pinang dan telah mula menyertai ATM pada 26 Julai 1984. Beliau telah menabur bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 40 tahun dan merupakan salah seorang Juruterbang di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Sepanjang pemerintahan Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM, beliau telah banyak memacu kecemerlangan MK AB dalam melaksanakan operasi di dalam dan di luar negara selain memainkan peranan penting dalam memastikan setiap eksesais bersama negara-negara luar dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Manakala, Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM yang dilantik sebagai PAB ke-14 telah dilahirkan di Kuala Lumpur pada 9 Mei 1965. Beliau telah ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada tahun 1985 selepas menamatkan latihan ketenteraan di sekolah Pegawai Kadet, Maktab Tentera Diraja. Setelah tamat latihan asas penerbangan pada tahun 1987, beliau telah menjalankan tugas penerbangan operasi sebagai juruterbang pesawat seperti Aermacchi MB 339A, Northrop F-5E/F dan Fulcrum MiG 29N. Pada Majlis yang sama turut diadakan ialah Majlis serah bendera dan pemakaian insignia MK AB oleh Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM kepada Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM sebagai simbolik kepada pertukaran tampuk pemerintahan MK AB.