MARAKAH – Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi bin Buang TUDM telah menghadiri Perbarisan Lawatan Ulung beliau bertempat di Padang Kawad, Kem Marakah, Selatan Lubnan hari ini. Ketibaan beliau di Kem Marakah telah disambut oleh Sector West Commander, Panglima Angkatan Bersama, Komander MALBATT 850-9 serta para Pegawai Kanan. Ketibaan beliau telah disambut dengan penuh kehormatan oleh kumpulan Kawalan Kuater.
Perbarisan ini berkonsepkan perbarisan statik yang melibatkan semua anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). Dalam masa yang sama, perbarisan kali ini turut mempamerkan aset-aset MALBATT iaitu 10 x RPZ Condor Twin GPMG, 4 x Guardian, 2 x RPZ Condor 20 MM Orlingkon dan RPZ Condor ACV.
Keseluruhan perbarisan pada hari ini berkekuatan seramai 22 pegawai dan 123 anggota lain-lain pangkat. Perbarisan ini melibatkan empat detasmen yang diketuai oleh Ketua Perbarisan iaitu Kdr Ahmadi Zamani bin Kamaruzzaman TLDM manakala Penolong Ketua Perbarisan adalah Mejar Mohd Nurul bin Hasan, Ajutan Perbarisan Kapten Noor Azmil bin Saari dan Sarjan Mejar Rejimen Perbarisan PW I Nor Faizol bin Mohamed Nor. Senarai ketua-ketua detasmen adalah seperti berikut:
1. Detasmen Pertama diketuai oleh Mejar (Dr) Huda binti Basuri
2. Detasmen Kedua diketuai oleh Mejar Salman bin Sharif
3. Detasmen Ketiga diketuai oleh Mejar Mohamad Affiroel Faqikh bin Yusoff
4. Detasmen Keempat diketuai oleh Mejar Abdul Rahman bin Zulkefli
Dalam perbarisan ini, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi bin Buang TUDM mengambil Tabik Hormat serta memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan RPZ Condor ACV sebelum menyampaikan ucapan beliau. Turut hadir sepanjang lawatan ini, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Indera Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM, Ketua Pengarah Perancangan dan Pembangunan, Brig Jen Dato’ Wan Amin Hafiz bin Wan Mahmud TUDM serta beberapa Pegawai Kanan lain.