PINTASAN DAN PENAHANAN PERCUBAAN PENYELUDUPAN MINYAK DI PULAU SIAMIL

SEMPORNA 20 Disember 2021 – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak di perairan Pulau Siamil, Sabah. Pengesanan tiga buah bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan telah dikesan oleh Radar CSS (Coastal Surveillance Station) di Pulau Danawan yang bergerak laju dari arah Pulau Siamil menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia/Filipina di Pulau Sitangkai Filipina pada 18 Disember 2021, jam 8.25 malam. Berdasarkan kepada pengesanan tersebut, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah menugaskan Viper 04 bersama Tim QRF yang berada di kawasan OP PASIR Selatan melaksanakan pintasan pada jam 8.28 malam.
VIPER 04 bersama Tim QRF telah berjaya membuat pintasan dan penahanan terhadap dua buah bot laju tersebut. Walau bagaimanapun, sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran Tim QRF. VIPER 04 telah diarahkan menunda dua buah bot tersebut ke Jeti Pulau Siamil untuk pemeriksaan terperinci disebabkan keadaan laut yang bergelora. Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan terdiri daripada empat orang awak-awak lelaki, berwarganegara Filipina berusia antara 19 hingga 50 tahun, serta tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Sebanyak 100 tong minyak berkapasiti 35 liter/tong yang berisi minyak petrol berjumlah 3,500 liter berada di dalam setiap bot dan empat tong gas berkapasiti 16 kg/tong. Hasil keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 61,776.00. Bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tidak membawa dokumen pengenalan diri yang sah.
Kedua-dua buah bot laju tersebut seterusnya ditunda ke Jeti Kem Azumi dan kesemua awak-awak bot tersebut kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi membuat laporan polis pada jam 5.30 pagi. Mereka seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan hasil keputusan kesemua awak-awak bot adalah negatif. Mereka seterusnya diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut oleh PDRM.
Skip to content