TAWAU, 29 Ogos 22 – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) hari ini telah melaksanakan Program Derma Darah peringkat MK ATB 2 bersempena Semarak Hari Kemerdekaan Malaysia yang Ke-65. Tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah “𝗞𝗲𝗹𝘂𝗮𝗿𝗴𝗮 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 𝗧𝗲𝗴𝘂𝗵 𝗕𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮” yang membawa pengertian bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia dalam mengharungi cabaran dan dugaan Pendemik COVID-19 yang melanda negara. Susulan itu, MK ATB 2 dengan kerjasama daripada pihak Unit Tabung Darah Hospital Tawau telah melaksanakan Program Derma Darah.
Program pada pagi ini dimulakan dengan Penyerahan Jalur Gemilang oleh Kol Mohammed Firdauz bin Hj Osman TUDM, Ketua Staf MK ATB 2 kepada wakil Pegawai, Anggota LLP, dan Pegawai Perubatan Hospital Tawau iaitu sebagai simbolik Semarak Kemerdekaan. Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Dewan Terbuka Bn Ke-26 RAMD dengan penglibatan seramai 16 Pegawai dan 58 Anggota LLP MK ATB 2.
Majlis diteruskan lagi dengan Program Derma Darah yang melibatkan seorang Pegawai Perubatan dan 9 orang staf dari Unit Tabung Darah Hospital Tawau. Jumlah pendaftaran bagi Program Derma Darah MK ATB 2 adalah seramai 60 orang dan hanya 48 orang yang layak untuk menderma darah.
Program ini merupakan kempen yang dilaksanakan oleh Unit Tabung Darah Hospital Tawau dan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan seperti penjarakan sosial, saringan pemeriksaan suhu, dan personal hand hygiene bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Pihak Unit Tabung Darah Hospital Tawau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khasnya kepada pihak MK ATB 2 terhadap sikap keprihatinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat dalam memupuk kesedaran menderma darah di kalangan anggota tentera.