QRF ATB 2 GAGALKAN PENYELUDUPAN ROKOK HARAM

TAWAU 8 Ogos 2022 – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menerusi tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) telah berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 3,500 karton rokok secara tidak sah (tidak bercukai) menerusi rondaan Op BENTENG BERSAMA di Lorong Hj Salleh, berhampiran Kg Sri Aman, Tawau. Kejayaan ini adalah hasil tindakan pantas Tim QRF setelah mencurigai tindakan dua lelaki dewasa yang sedang memunggah beberapa buah kotak kedalam sebuah stor sekitar jam 1.30 pagi. Menyedari kehadiran Tim QRF di kawasan tersebut, kedua-dua lelaki tersebut bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian. Hasil pemeriksaan awal terhadap stor tersebut mendapati stor tersebut digunakan bagi tujuan transit penyimpanan rokok seludup dari Indonesia ke pasaran Tawau.
Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 dan POWB telah meminta bantuan dari Tim OCP Daratan Tawau bagi bantuan proses serahan kesemua Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT) ke IPD Tawau serta membuat laporan polis pada jam 5.30 pagi. Hasil pemeriksaan mendapati nilai keseluruhan rampasan bagi 3,500 karton rokok seludup berjenama Astro Menthol King adalah dianggarkan bernilai RM 420,000.00. MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau. Kesemua barang rampasan RBTT telah diserahkan kepada IPD Tawau pada jam 8.45 pagi untuk siasatan serta tindakan lanjut PDRM. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim bin Ahmad hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota-anggota yang bertugas di POWB ATB 2, Tim QRF, Tim OCP Daratan dan IPD Tawau atas gabungan kerjasama serta sokongan pelaksanaan operasi ini. Kerjasama erat di antara perkhidmatan ATM dan PDRM sentiasa berada ditahap yang terbaik melalui pemantauan berterusan dan perkongsian maklumat secara efektif antara agensi keselamatan lain bagi menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah ini. ATB 2 juga turut melaksanakan aturgerak operasi dengan pelbagai kaedah seperti menggabungkan semua aset serta elemen pengawasan secara terkoordinasi, bagi memastikan Perairan Pantai Timur Sabah sentiasa diawasi sebilang masa oleh pasukan beroperasi serta membuktikan relevansi, fungsi dan peranan ATB 2 dalam menjamin keselamatan negara. Melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di bawah kawalan operasi ATB 2 yang dilaksanakan secara berterusan, beliau menjamin keselamatan KTJ sentiasa terpelihara serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman keselamatan demi menjaga kedaulatan dan kemakmuran negara, khasnya di Pantai Timur Sabah.
Skip to content