QRF ATB 2 GAGALKAN PENYELUDUPAN

Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 8,650 karton rokok tidak sah (tidak bercukai) menerusi rondaan Op BENTENG BERSAMA di kawasan tanggungjawab ATB 2 Tawau, Sabah. Kejayaan ini adalah hasil pengesanan awal empat buah bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan telah dikesan oleh Radar Coastal Surveillance Station (CSS) berhampiran Tawau, yang bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke Batu 3, Tawau pada 30 Mei 2022, jam 03.05 pagi. Berdasarkan kepada pengesanan tersebut, Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah menugaskan Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA bagi melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan.
Hasil tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) yang telah berjaya menahan sebuah lori muatan jenis bonded 1 Tan HICOM berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut pada jam 4.00 pagi. Tim QRF telah melaksanakan pemeriksaan awal terhadap lori tersebut dan mendapati, kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan membawa rokok seludup dari Indonesia ke Tawau serta telah ditinggalkan apabila menyedari kehadiran Tim QRF di kawasan tersebut.
MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau. Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 dan telah diarahkan untuk membawa kenderaan tersebut bersama kesemua Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT) ke IPD Tawau untuk membuat laporan polis pada 30 Mei 2022, jam 1.40 petang. Hasil pemeriksaan mendapati nilai rampasan bagi 8,650 karton rokok seludup adalah dianggarkan bernilai RM 1,038,000.00 manakala sebuah lori muatan jenis bonded dianggarkan bernilai RM 40,000.00. Nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah 𝗥𝗠 𝟭,𝟬𝟳𝟴,𝟬𝟬𝟬.𝟬𝟬. Kesemua barang rampasan dan kenderaan telah diserahkan kepada IPD Tawau pada jam 2.40 petang untuk siasatan serta tindakan lanjut PDRM.
Skip to content