Kuala Lumpur, 28 Mac 2023- Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah menyempurnakan Majlis Sambutan Kepulangan Tim Misi Operasi STARLIGHT II di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tim Misi Operasi STARLIGHT II diketuai oleh Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM sebagai Peneraju Operasi dan Brigedier Jeneral Dato’ (Dr) Amran bin Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi bersama 110 pegawai dan anggota yang terdiri dari 14 pakar perkhidmatan klinikal, 14 pegawai perubatan, 58 staff kesihatan dan 23 staf sokongan. Hospital Medan Malaysia (HMM) telah mula diaktifkan pada 9 Feb 23 bertujuan bagi melaksanakan Misi Bantuan Perkhidmatan Perubatan kepada mangsa gempa bumi di Republik Turkiye melalui pengoperasian HMM di Celikhan, Turkiye. Penugasan HMM ditamatkan pada 23 Mac 2023 setelah berjaya melaksanakan misi selama enam (6) minggu. Proses membawa balik petugas-petugas HMM dan aset-aset perubatan adalah dengan menggunakan 2 buah pesawat A400M TUDM serta pesawat komersial Turkish Airlines. Pesawat A400M TUDM telah diaturgerak ke Republik Turkiye pada 23 Mac 2023 dan sampai ke Pangkalan Udara Subang pada 27 Mac 2023. Kerajaan Malaysia telah memberikan sejumlah peralatan dan kelengkapan HMM (melibatkan 24 buah khemah, katil medan dan ubat-ubatan serta barang perubatan pakai habis) sebagai sumbangan kepada Kerajaan Republik Turkiye bagi membantu dan meneruskan proses pemulihan kesihatan di negara tersebut. Perkara telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan, YB Datuk Seri Utama Mohamad Hasan sewaktu mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan Republik Tukiye, Hulusi Akar di Ankara pada 20 Mac 2023 yang lalu dan Majlis Serah Terima Aset HMM kepada Kementerian Kesihatan Republik Turkiye telah dilaksanakan pada 23 Mac 2023.
HMM telah memulakan pengoperasiannya pada 15 Februari 2023 dengan menawarkan perkhidmatan perubatan Tahap 3 kepada masyarakat setempat serta melaksanakan Outreach Medical Program melalui Forward Medical Team (FMT). Pendekatan FMT adalah dengan mengaturgerak petugas kesihatan HMM ke rumah-rumah penduduk di sekitar Celikhan serta memeriksa warga tua dan yang lemah untuk disaring serta dibawa ke HMM bagi rawatan lanjut sekiranya perlu. Inisiatif ini bukan sahaja dapat meningkatkan interaksi secara terus antara penduduk tempatan dengan petugas HMM, ia juga telah meningkatkan imej negara disamping membuktikan komitmen tinggi Malaysia dalam membantu Republik Turkiye yang berada dalam kesulitan. Sepanjang tempoh beroperasi, HMM telah berjaya merawat seramai 2,415 pesakit. Ianya termasuk 83 kes pembedahan yang berjaya dilaksanakan dan 159 pesakit yang telah diberikan rawatan melalui pendekatan FMT. Turut hadir dalam majlis sambutan tersebut adalah Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Ahmad, Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh, Asisten Ketua Setaf Operasi dan Latihan Markas ATM Mejar Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan dan Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri Datuk Zahairi bin Baharim.