SANDAKAN, 5 Januari 2022 – Program SUHAKAM Bersama Pelajar Sekolah 3M (Membaca, Menulis, Mengira) serta lawatan kerja Tan Sri Othman bin Hashim, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ke Pulau Berhala telah disambut mesra oleh Kolonel Mohammed Firdauz bin Hj Osman TUDM, Ketua Staf Angkatan Tugas Bersama 2 (KS ATB 2) dan Lt Kol Firdaus bin Shah Budin Pegawai Memerintah Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) serta pegawai dan anggota yang beroperasi di pulau tersebut. Lawatan ini merupakan lawatan julung kalinya oleh Pengerusi SUHAKAM ke Pulau Berhala.
Tujuan utama lawatan kerja ini ke Pulau Berhala adalah bagi melihat secara lebih dekat pendekatan yang dipraktikkan oleh Staf Pendidikan ATB 2 dalam menyelia serta menguruskan pembelajaran secara berterusan di Sekolah 3M Pulau Berhala kepada kanak-kanak yang terlibat. Dalam kontek yang sama rombongan SUHAKAM ini secara tidak langsungnya juga mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang peranan pasukan keselamatan khasnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aspek keselamatan dan keamanan masyarakat setempat. Dalam pada itu juga ianya membolehkan SUHAKAM menilai perkara berkaitan hak asasi manusia serta memberikan panduan secara tidak langsungnya kepada MK ATB 2 khasnya melibatkan perihal Hak Asasi Manusia dalam memperkasakan pencapaian operasi seandai ianya diperlukan. Selain itu, deligasi turut dibawa melawat ke sekolah 3M bagi melihat sistem dan aktiviti yang dilaksanakan oleh sekolah yang mempunyai seramai 293 orang pelajar itu.
Untuk rekod, Sekolah 3M ini merupakan sekolah yang telah dibina dan diselia oleh ATM semenjak tahun 1992 bagi mengajar kanak-kanak warga tidak bernegara yang kurang bernasib baik berbanding rakyat Malaysia yang lain. Menerusi kewujudan sekolah ini, ATM telah memenangi Anugerah Hak Asasi Manusia SUHAKAM pada 9 September 2014.
Lawatan kerja Pengerusi SUHAKAM di Sekolah 3M dimulakan dengan upacara simbolik penanaman pokok mempelam harumanis di luar pagar kem sempena Program Pelestarian Bumi Hijau ATB 2. Seterusnya, penyampaian taklimat di dalam dewan kuliah sekolah berkenaan dengan Pengenalan Peranan ATB 2 dan taklimat Sekolah 3M oleh Pegawai Memerintah 2 RRD. Selepas selesai sesi taklimat, disusuli pula dengan acara penyampaian buku sumbangan dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur disempurnakan oleh Pengerusi SUHAKAM kepada Staf Sarjan Mohd Amran bin Jaafar, Penyelia Pendidikan Sekolah 3M. Pengerusi SUHAKAM turut berkesempatan untuk menyempurnakan perasmian Telaga Air Pulau Berhala yang digali oleh warga 2 RRD sebagai salah satu projek untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat. Program diakhiri dengan upacara menandatangani buku lawatan oleh Pengerusi SUHAKAM dan pertukaran cenderahati di antara pihak SUHAKAM dengan pihak MK ATB 2.