Kuantan, 20 Januari 2022- Sejajar dengan teras menjaga kebajikan warga Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang ditimpa musibah, Panglima Angkatan Bersama (PAB), Leftenan Jeneral Dato Indera Hj Yazid bin Hj Arshad TUDM dan isteri, Datin Indera Hajah Nazriah binti Hj Mahmood telah menyempurnakan program penyerahan barangan sumbangan kepada warga MK AB yang terjejas akibat bencana banjir di Kuantan baru-baru ini. Seramai 68 pegawai, anggota dan ahli keluarga warga MK AB yang menjadi mangsa banjir menerima sumbangan tersebut
Sumbangan berupa bantuan wang tunai, tilam, keperluan makanan asas, barangan eletrik dan kit solat ini bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh warga MK AB yang terlibat dengan bencana banjir. Sumbangan yang diterima keseluruhanya dianggarkan berjumlah RM18,000 yang telah disumbangkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM dan BAKAT MK AB serta orang perseorangan.
PAB dan isteri turut menzahirkan rasa simpati dan memberikan dorongan semangat kepada semua mangsa banjir terlibat agar sentiasa kuat dan tabah dalam mengharungi dugaan yang menimpa dan berharap sumbangan yang diterima dapat membantu meringankan beban mereka. PAB dan isteri turut mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan yang telah diberikan. Turut diadakan Majlis Sumbangan atas kelahiran anak warga MK AB. Turut serta dalam menjayakan program penyerahan bantuan ini adalah pegawai-pegawai kanan MK AB.