SANDAKAN, 25 Mac 23 – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah melaksanakan tinjauan operasi ke pulau-pulau di Sandakan yang melibatkan kawasan operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Baginda dan delegasi telah melaksanakan tinjauan ke Pos Pulau Libaran, Pos Pulau Bakungan Kecil, Pos Pulau Pamaguan dan Pos Pulau Berhala. Kehadiran Tuanku disambut mesra oleh Ketua Pos Penempatan dan penduduk kampung. Terdahulu, tinjauan ini yang lebih dikenali sebagai Eksesais PERBAH merupakan satu siri eksesais yang dirasmikan oleh DYTM Raja Muda Perlis dan merupakan singkatan perkataan Negeri Perlis dan Sabah. Eksesais ini berkonsepkan jiwa murni serta bertujuan untuk meneruskan kesinambungan aktiviti di kawasan operasi dengan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Negeri Perlis dengan Kerajaan Negeri Sabah. Kehadiran DYTM Raja Muda Perlis ini memberi semangat dan moral kepada anggota yang sedang bertugas dan baginda turut menyampaikan sumbangan kepada semua anggota bertugas dan penduduk tempatan. Di akhir tinjauan, DYTM Raja Muda Perlis dan delegasi turut berkesempatan melaksanakan tinjauan dan berbuka puasa di KA TUN AZIZAN. Turut hadir dalam tinjauan adalah Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Sazalee bin Shoib dan Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin bin Wan Mahsin serta Pegawai-pegawai Kanan ATM.
- Markas Angkatan Bersama
- Berita
- TINJAUAN DYTM RAJA MUDA PERLIS DI KTJ OP PASIR BRAVO