Eksesais BL merupakan Eksesais Gabungan Bersama di antara Angkatan Tentera FPDA yang dilaksanakan dalam bentuk Command Post Exercise (CPX) dan Field Training Exercise (FTX). Eksesais ini dianjurkan setiap tahun secara bergilir-gilir di antara Malaysia dan Singapura. Pada tahun kelima penganjuran eksesais ini akan diadakan Eksesais SUMAN PROTECTOR yang melibatkan aset ketenteraan negara FPDA dalam skala besar.
Eksesais merangkumi latihan FTX dan CPX yang berasingan (de-linked) akan diadakan secara serentak. Latihan FTX akan dilaksanakan pada tahap taktikal memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti Perintah dan Kawal (Command and Control (C2)) dalam senario peperangan konvensional, manakala latihan CPX akan dilaksanakan pada tahap operasi dalam merancang kempen berskala sederhana (medium-level campaign).
Tujuan Eksesais BL adalah untuk melatih ketumbukan pertahanan negara-negara FPDA dalam melaksanakan operasi dan eksesais Gabungan Bersama dalam situasi pelbagai ancaman (multi-threats) untuk mempertahankan Malaysia dan Singapura serta meningkatkan saling khidmat (interoperability) dan memperkukuhkan lagi hubungan profesional. Objektif-objektif eksesais adalah seperti berikut:
1. Melatih Tentera Darat, Laut dan Udara negara-negara FPDA dalam melaksanakan Operasi Gabungan Bersama di peringkat taktikal dalam mempertahankan Semenanjung Malaysia dan Singapura.
2. Menambah baik dan mengesahkan doktrin dan prosedur saling khidmat di antara Tentera Darat, Laut dan Udara negara-negara FPDA di dalam senario gabungan bersama.
3. Mempertingkatkan tahap profesionalisme dan nilai latihan peserta-peserta di samping memperkukuhkan lagi hubungan profesional.
4. Melaksanakan latihan peperangan konvensional dan bukan konvensional, termasuk penentangan ancaman asimetri dari darat, laut dan udara.
5. Menyediakan pelbagai peluang kaedah latihan udara dan maritim.
6. Menyediakan siri tembakan sebenar jarak sederhana dan dekat dari permukaan ke udara, permukaan ke permukaan dan Naval Gunfire Support (NGS).
7. Penumpuan kepada latihan taktikal Anti Submarine Warfare (ASW) kepada unit menggunakan aset kapal selam sebagai teras utama.
8. Mengenal pasti dan menangani isu-isu saling khidmat angkatan gabungan.
9. Membentuk, mengurus dan memelihara komunikasi taktikal dalam suasana gabungan bersama semasa melaksanakan operasi angkatan darat, laut dan udara yang berjauhan di antara satu sama lain. Memberi peluang kepada peserta mengkaji semula dan membangunkan taktik, latihan dan prosedur yang dinyatakan di dalam FPDA Doctrine and Procedures Publication (FDPP).
10. Meneruskan pembangunan proses dan prosedur FPDA Communication Information System (CIS) C2.
11. Melaksanakan pertukaran anggota di antara skuadron-skuadron dan kapal-kapal dalam mempromosikan saling khidmat serta perkongsian maklumat.