Eksesais BS dianjurkan oleh Headquarters Integrated Area Defence System (HQIADS) dan melibatkan angkatan tentera negara Five Power Defence Arrangement (FPDA). Eksesais ini merupakan Eksesais Gabungan Bersama di antara Angkatan Bersenjata FPDA dan dilaksanakan dalam bentuk Field Training Exercise (FTX).
Tujuan Eksesais BS adalah untuk melatih ketumbukan pertahanan negara-negara FPDA dalam melaksanakan Operasi dan Eksesais Gabungan Bersama dalam situasi pelbagai ancaman (multi-threats) untuk mempertahankan Malaysia dan Singapura serta meningkatkan saling khidmat (interoperability) dan memperkukuhkan lagi hubungan profesional. Objektif-objektif eksesais adalah seperti berikut:
1. Melatih Tentera Darat, Laut dan Udara negara-negara FPDA dalam melaksanakan Operasi Gabungan Bersama di peringkat taktikal dalam mempertahankan Malaysia dan Singapura.
2. Menambahbaik dan mengesahkan doktrin dan prosedur saling khidmat di antara Tentera Darat, Laut dan Udara negara-negara FPDA di dalam senario gabungan bersama.
3. Mempertingkatkan tahap profesionalisma dan nilai latihan peserta-peserta di samping memperkukuhkan lagi hubungan profesional.
4. Melaksanakan latihan peperangan konvensional dan bukan konvensional, termasuk penentangan ancaman asimetrik dari darat, laut dan udara.
5. Menyediakan pelbagai peluang kaedah latihan udara dan maritim.
6. Menyediakan siri tembakan sebenar jarak sederhana dan dekat dari permukaan ke permukaan, permukaan ke udara dan Naval Gunfire Support (NGS).
7. Penumpuan kepada latihan taktikal Anti Submarine Warfare (ASW) kepada unit menggunakan aset kapal selam sebagai teras utama.
8. Mengenal pasti dan menangani isu-isu saling khidmat angkatan gabungan.
9. Membentuk, mengurus dan memelihara komunikasi taktikal dalam suasana gabungan bersama semasa melaksanakan operasi angkatan darat, laut dan udara yang berjauhan di antara satu sama lain.
10. Memberi peluang kepada peserta mengkaji semula dan membangunkan taktik, teknik dan prosedur (TTP) yang dinyatakan di dalam FPDA Doctrine and Procedures Publication (FDPP).
11. Meneruskan pembangunan proses dan prosedur FPDA Communication Information System (CIS) C2.
12. Melaksanakan pertukaran anggota di antara skuadron-skuadron dan kapal-kapal dalam mempromosikan saling khidmat serta perkongsian maklumat.