ATB 2 GAGALKAN PENYELUDUPAN MINYAK

SEMPORNA 5 Mac 2022 – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak di perairan Pulau Bohayen, Sabah. Pengesanan sebuah kapal kargo yang berada dalam keadaan mencurigakan telah dikesan oleh Radar Coastal Surveillance System (CSS) berhampiran Pulau Danawan yang bergerak dari arah Semporna menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia/Filipina di Barat Daya Pulau Bohayen pada 5 Mac 2022, jam 2.10 petang. Berdasarkan kepada pengesanan tersebut, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah menugaskan VIPER 04 bersama Tim QRF yang berada di kawasan OP PASIR Sektor Selatan melaksanakan pintasan pada jam 2.30 petang.
VIPER 04 bersama Tim QRF telah berjaya membuat pintasan dan penahanan terhadap kapal kargo tersebut. VIPER 04 dan bot Rigid Hull Inflatable Boat (RIB) telah diarahkan untuk mengiringi kapal kargo tersebut ke Jeti Azumi untuk pemeriksaan terperinci. Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan terdiri daripada lima orang awak-awak lelaki, berwarganegara Malaysia berusia antara 31 hingga 54 tahun, serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Kapal kargo tersebut membawa minyak diesel berkapasiti 70,000 liter yang dianggarkan bernilai RM 150,500.00. Hasil keseluruhan nilai rampasan termasuk kapal kargo tersebut dianggarkan bernilai RM 650,500.00. Kapal kargo tersebut ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kesemua awak-awak kapal kargo tersebut telah dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan seterusnya diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 9.00 malam bagi laporan Polis. Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi tindakan lanjut. Kerjasama erat di antara perkhidmatan ATM, PDRM, APMM dan KKM berada ditahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim bin Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota-anggota yang bertugas di POWB ATB 2, radar CSS dan Tim QRF atas kejayaan tersebut. Beliau turut mengingatkan warga MK ATB 2 untuk kekal menjadi angkatan yang kredibel dan menerapkan kesiapsiagaan operasi tertinggi melalui “Precision Info, Precision Targeting and Precision Manouver“.
Kejayaan kali ini membuktikan sistem radar milik MK ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan memastikan POWB mampu mengesan sebarang “ancaman” yang memasuki sempadan Perairan Pantai Timur Sabah dapat diawasi dengan lebih ketat dan sentiasa berada ditahap tertinggi. Kejayaan ini sekaligus membuktikan bahawa peranan radar turut menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah operasi.
Melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA di bawah naungan ATB 2 secara berterusan, beliau menjamin keselamatan Perairan Pantai Timur Sabah berada ditahap terbaik. Anggota tentera yang beroperasi turut diingatkan untuk sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani sebarang cabaran serta ancaman keselamatan dari semasa ke semasa.
Skip to content