ATURGERAK KUMPULAN TERAKHIR OP STARLIGHT II

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2023 – Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM yang juga peneraju OP STARLIGHT II (OPERASI HOSPITAL MEDAN MALAYSIA DI TURKIYE) telah menyempurnakan sesi penghantaran kumpulan terakhir Tim OP STARLIGHT II di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 Februari 2023. Kumpulan terakhir atau yang ketiga diketuai oleh Pegawai Memerintah Hospital Medan Malaysia (HMM), Kolonel (Dr) Yussra bin Yusoff terdiri dari 41 anggota (16 pegawai dan 25 lain-lain pangkat) akan diterbangkan menggunakan penerbangan Turkish Airlines pada 11 Feb 23 jam 11.00 malam. OP STARLIGHT II diaktifkan untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye. Fokus utama OP STARLIGHT II yang melibatkan anggota-anggota perubatan ATM adalah untuk menyokong Kerajaan Turkiye melalui bantuan perubatan (termasuk rawatan kecederaan dan kecemasan) dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara tersebut melalui pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM). Brigedier Jeneral Dato’ (Dr) Amran bin Amir Hamzah yang telah dilantik sebagai Pemerintah Operasi STARLIGHT II bersama 106 pegawai dan anggota akan melaksanakan misi yang di jangkakan selama enam (6) minggu namun akan berlarutan sekiranya perlu. Hospital Medan Malaysia (HMM) ini akan ditempatkan di Celikhan, Adiyaman iaitu 152 kilometer dari Gaziantep, iaitu kawasan paling terjejas. HMM akan mendapatkan bantuan koordinasi dari kerajaan Turkiye dan akan koordinasikan operasi bersama Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Aturgerak pegawai dan anggota OP STARLIGHT II ke Turkiye dilaksanakan dalam 3 fasa penghantaran bermula 10 Feb 23 dengan menggunakan pesawat A400M TUDM dan pesawat komersial. Kumpulan pertama melibatkan 36 pegawai dan anggota telah diaturgerak dengan 2 buah pesawat A400M TUDM dari Pangkalan Udara Subang pada 10 Feb 23 jam 02.00 pagi serta telah selamat tiba di Lapangan Terbang Gaziantep pada 11 Feb 23 jam 01.30 pagi (waktu Malaysia). Buat masa ini, kumpulan pertama sedang menunggu arahan untuk pergerakan ke kawasan bencana bagi mendirikan HMM di Celikhan, Adiyaman yang akan ditetapkan oleh pegawai koordinasi tempatan (AFAD- Disaster and Emergency Management Authority Republic of Turkiye). Manakala pada 10 Feb 23 jam 11.00 malam, Kumpulan kedua yang melibatkan 34 pegawai dan anggota telah diaturgerak menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines dan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 10.44 pagi 11 Feb 23. Kumpulan kedua ini akan menunggu ketibaan Kumpulan ketiga dan akan bersama-sama menaiki pesawat A400M TUDM ke Lapangan Terbang Gaziantep dan seterusnya melalui jalan darat ke lokasi HMM akan ditempatkan. Elemen Logistik Perubatan melibatkan 7.3 tan aset Hospital Medan diterbangkan dengan menggunakan pesawat Mas Kargo pada 111300H Feb 23. Pihak ATM akan sentiasa bersiap sedia dan komited untuk melaksanakan tugas misi kemanusiaan sepertimana yang diarahkan dan akan terus melakar kejayaan dalam melaksanakan misi Hospital Medan sepertimana kejayaan-kejayaan yang telah di capai terdahulu.
Skip to content