Eksesais TIGER STRIKE adalah eksesais bilateral antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan United States Forces (USF) yang mensasarkan peningkatan kecekapan pengoperasian dan keberkesanan di dalam latihan amfibi. Latihan ini juga mempamerkan satu jalinan kerjasama dan komitmen yang baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat khususnya untuk meningkatkan kestabilan dan keselamatan serantau. Objektif eksesais adalah seperti berikut:

a. Mempertingkatkan hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara.

b. Mewujudkan interoperabiliti di antara ATM dan USF khususnya dalam aspek operasi amfibi sekali gus meningkatkan kemahiran anggota yang terlibat.

c. Meningkatkan persefahaman dari pelbagai tahap khususnya perancang latihan dan aspek operasi bersama.

d. Mempertingkatkan hubungan yang baik antara ATM, USF dan masyarakat setempat melalui pelaksanaan projek hubungan kemasyarakatan dan komitmen ATM dalam menjaga keselamatan perairan negara terutamanya di Sabah Timur.