PORT DICKSON, 3 OKTOBER 2016 - Majlis Perbarisan Pembubaran dan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) kepada Malaysian Battalion 850-3 (MALBATT 850-3) disempurnakan oleh  Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Fadzil bin Mokhtar, Panglima Angkatan Bersama bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Laksmana Madya Dato’ Anuwi bin Hassan Timbalan Panglima Tentera Laut, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Hj Affandi bin Buang TUDM Timbalan Panglima Tentera Udara dan Pegawai-pegawai Kanan ATM serta anggota dari ketiga-tiga perkhidmatan. Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) kepada MALBATT 850-3 adalah bagi mengiktiraf kejayaan Pasukan tersebut semasa menjalankan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah panji-panji PBB di Lubnan selama 12 bulan mulai 15 September 2015 hingga 16 September 2016.


    MALBATT 850-3 diketuai oleh Kolonel Reizal Arif bin Ismail selaku Komander. Jumlah keseluruhan anggota yang kembali ke tanah air adalah seramai 850 orang.  Kekuatan seramai 850 anggota terdiri daripada 76 pegawai dan 774 LLP termasuk 3 pegawai wanita dan 12 anggota wanita, seorang Pegawai Kewangan KEMENTAH serta 2 pegawai dan 27 anggota ABDB.   Pecahan keseluruhan anggota ATM mengikut perkhidmatan ialah 638 anggota dari Tentera Darat, 91 anggota dari TLDM dan  91 anggota dari TUDM. MALBATT 850-3 telah diaturgerakkan kembali ke tanahair secara berperingkat- peringkat.  Peringkat pertama iaitu Kumpulan Pertama yang terdiri daripada 210  anggota tiba pada  8 September 2016, Kumpulan Kedua  terdiri daripada 207 anggota telah tiba pada 15 September 2016, Kumpulan Ketiga yang terdiri daripada 212 anggota telah tiba pada 21 September 2016 dan Kumpulan Keempat yang terdiri daripada 210 anggota telah tiba pada 27 September 2016 di Pangkalan Udara TUDM, Subang dengan menaiki pesawat Air Asia. Misi seterusnya telah diambil alih oleh MALBATT 850-4  mulai 16 September  2016 dan dijangka tamat pada September 2017.