SANDAKAN, 01 Jun 2016 – Upacara Pembukaan Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) 2016 disempurnakan oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Mohammad Adib bin Abdul Samad pada 1 Jun 2016 jam 10.00 pagi bertempat di Markas Pangkalan Hadapan, Sandakan, Sabah. CARAT 2016 adalah merupakan latihan tahunan dua hala antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan United States Navy (USN) / United States Marine Corps (USMC) dan berlangsung mulai 30 Mei sehingga 4 Jun 2016 bertempat di sekitar kawasan Sandakan dan Lahad Datu, Sabah. CARAT 2016 pada kali ini merupakan edisi ke-22 tahun Eksesais Gabungan Bersama melibatkan ATM dengan USN. CARAT 2016 ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan saling khidmat dalam perancangan dan pelaksanaan operasi bersama dan gabungan di antara kedua-dua Angkatan Tentera. CARAT 2016 akan diadakan selama 6 hari dan pendekatan yang digunakan adalah meliputi pelbagai eksesais termasuk Sea Operations, Force Protection Training, Medical and Dental Civic Action Programme (MEDCAP & DENCAP), Explosive Ordnance Disposal Exercise (EODEX), Engineer Civic Action Programme (ENCAP), Tactical Combat Casualty Care dan Amphibious Landing. Eksesais ini melibatkan 587 peserta dari Angkatan Tentera Malaysia dan 912 peserta dari Tentera Laut Amerika Syarikat. Antara aset-aset yang terlibat adalah KD Jebat, KA Bunga Mas Lima, USS Stethem, USS Ashland, Pesawat HAWK TUDM dan P3C Orion. Latihan Pendaratan Amfibi akan dilaksanakan di Pantai Tanduo, Lahad Datu yang melibatkan pasukan 3 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) dan USMC. Buat julung kalinya CARAT 2016 juga akan dilaksanakan secara Multilateral melibatkan Tentera Laut Filipina. Turut hadir adalah Commander Task Force 73 (CTF 73) Rear Admiral Charles Williams (USN), Pegawai-pegawai Kanan ATM dan USN.