Changi, Singapura 21 Oktober 2016 - Eksesais Bersama Lima 2016 telah melabuhkan tirainya hari ini dengan Majlis Penutup Eksesais yang diadakan di Changi Naval Base Singapore. Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, YM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohd Noor yang mewakili Panglima Angkatan Tentera. Hadir pada majlis tersebut adalah Panglima-panglima Angkatan Tentera Negara-negara FPDA yang lain iaitu Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Dato’ Sri Sabri bin Adam TUDM, Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Dato’ Fadzil bin Mokhtar, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Dato’ Anuwi bin Hassan, Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM, pegawai-pegawai kanan ATM dan peserta-peserta eksesais. Siri Eksesais FPDA akan diteruskan pada tahun 2017 dengan perlaksanaan Eksesais SUMAN Protector 2017.