DSC_9762.JPGDSC_9740.JPGDSC_9707.JPGDSC_9694.JPG

SUBANG, 27 Januari 2018 - Majlis Penghantaran Misi Bantuan Kemanusiaan dan lawatan ke Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pangkalan Udara Subang. Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Duta Muhibah Program Pembangunan PBB (UNDP) Tan Sri Michelle Yeoh mengetuai misi ini bagi menilai impak bantuan yang diberikan sehingga kini dan memastikan Hospital Medan Malaysia dilengkapi dengan sumber yang mencukupi untuk menangani keadaan yang melanda pelarian Rohingya.
Turut hadir bagi menghantar delegasi khas ini adalah Menteri Pertahanan Malaysia YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, panglima-panglima perkhidmatan serta wakil Kedutaan Bangladesh. Lawatan ini dilakukan selaras dengan Kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (U.A.E) yang akan memberi bantuan dalam menyediakan peralatan dan bekalan perubatan di hospital medan.
Turut serta dalam penerbangan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Dato’ Sri Abd Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Ketua Pengarah JHEV Mej Jen Dato' Mohamad Khir Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Leftenan Jeneral Dato' (Dr) Hj. Ya'akop bin Koming, wakil pejabat Perdana Menteri, doktor serta anggota-anggota misi.
Penghantaran delegasi ini menggunakan pesawat Airbus A400M TUDM dipandu oleh Lt Kol Baharin bin Mohamad TUDM Pegawai Memerintah 22 Skuadron yang berpangkalan di Subang. Rombongan delegasi ini membawa 44 orang penumpang dan 13 anak kapal. Pesawat tersebut membawa bersama 10 tan keperluan bantuan kemanusiaan seperti barangan perubatan, keperluan asas dan makanan.
Operasi hospital medan itu diketuai Kementerian Kesihatan dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Relief Agency (MRA), Islamic Medical Association Relief Team, Mercy Malaysia dan Humanity Heroes. Pembinaan hospital medan dan penyediaan aset perubatan serta latihan teknikal kakitangan perubatan awam dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia. Sehingga kini, pasukan perubatan Malaysia di hospital medan merawat lebih 3,768 pesakit. Malaysia juga mengerahkan aset hospital medan dan peralatan perubatan bernilai RM18 juta dengan kos operasi keseluruhan sebanyak RM3.5 juta selama tiga bulan.

#satria
#nadinegaraku
#negarakuprihatin
#tearsforrohingya