27 Februari 2018 - Majlis Penghantaran Tim Operasi STARLIGHT-1  (4).JPG27 Februari 2018 - Majlis Penghantaran Tim Operasi STARLIGHT-1  (3).JPG27 Februari 2018 - Majlis Penghantaran Tim Operasi STARLIGHT-1  (2).JPG27 Februari 2018 - Majlis Penghantaran Tim Operasi STARLIGHT-1  (1).JPG

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2018 - Majlis Penghantaran Tim Operasi STARLIGHT-1 iaitu Kumpulan Pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan mengambil alih pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Cox’s Bazar, Bangladesh telah disempurnakan oleh YM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor Panglima Angkatan Tenteradi Dewan Tanjung, Wisma Transit ATM, Kuala Lumpur. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Dato’ Sri Abdul Rahim bin Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Mohd Reza bin MohdSany, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan serta Kementerian Kesihatan. 

      Pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh yang sebelum ini dikelolakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 20 November 2017 telah ditamatkan pada 17 Februari 2018. Pengoperasian HMM Cox’s Bazar kini akan diambil alih oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku peneraju yang baru di bawah penyelarasan Pejabat Perdana Menteri (ProjekKhas) hingga Disember 2018. Tujuan utama pengoperasian HMM Cox’s Bazar adalah untuk menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberi bantuan kemanusiaan khususnya kepada pelarian Rohingya yang sedang berlindung di Bangladesh. Fokus utama bantuan adalah bagi menyokong usaha perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada pelarian Rohingya. Keseluruhan operasi akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Bangladesh dan Angkatan Tentera Bangladesh (ATB) serta dibantu oleh KKM, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan Malaysia.

     Operasi STARLIGHT-1 diketuai oleh Brig Jen Dr Adnan bin Abdullahselaku Komander Misi (Mission Commander) dan beliau adalah bertanggungjawab terus kepada Panglima Angkatan Bersama (PAB) mengenai semua aspek operasi, pentadbiran dan juga disiplin anggota Operasi STARLIGHT-1 di kawasan misi. Tim OperasiSTARLIGHT-1 secara keseluruhannya terdiri daripada 58 orang Pegawai, anggota lain-lain pangkat dan kakitangan awam ATM iaitu 22 orang pegawai ATM yang terdiri daripada doktor-doktor pakar serta pegawai perubatan dalam pelbagai bidang dan 30 anggota lain-lain pangkat ATM serta 6 orang kakitangan perubatan awam ATM yang terdiri daripada pembantu perubatan, paramedik, jururawat, bidan dan staf pentadbiran serta teknikal.