LATAR BELAKANG

1. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah terlibat di dalam misi PBB di seluruh dunia sejak tahun 1960 dengan pelbagai jenis operasi iaitu pemerhati, pengaman dan pemantau. Mulai tahun 2007 ATM telah diberi mandat oleh PBB untuk melaksanakan misi pengaman di Selatan Lubnan yang dikenali sebagai United Nation Interim Forces inLebanon (UNIFIL).

2. Bermula daripada MALCON, ATM sehingga kini telah terlibat sebanyak 15 misi. Pencapaian dan kejayaan pasukan ATM dalam misi UNIFIL telah menyebabkan PBB memberi mandat baru untuk menubuhkan MALBATT 850 mulai 2013.

3. Misi ini diberi kawasan tanggungjawab di bahagian Sektor Barat, Selatan Lubnan. Kecemerlangan dan kejayaan ATM khasnya MALBATT telah memberi keyakinan kepada masyarakat Lubnan dan PBB untuk ATM meneruskan mandat dan operasi pengaman di UNIFIL.

4. Penugasan utama MALBATT 850 adalah melaksanakan operasi pengaman dan komposisi MALBATT 850 ini, terdiri daripada pegawai dan anggota ketiga-tiga perkhidmatan ATM, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan pegawai kewangan KEMENTAH. Tempoh penugasan bagi setiap MALBATT 850 mulai 2013 adalah untuk tempoh 1 tahun. 

5. Peperangan di antara Pejuang Bersenjata Hezbollah dengan Israel Defence Force (IDF) yang berlaku selama 34 hari mulai 13 Julai hingga 14 Ogos 06 telah berakhir melalui Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 11 Ogos 06.

6. Antara perkara utama Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB adalah seperti berikut:

a. IDF dikehendaki berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan.

b. Pejuang Bersenjata Hezbollah dikehendaki meninggalkan kawasan selatan Sungai Litani.

c. PBB akan menghantar pasukan pengaman berkekuatan 15,000 anggota di kawasan antara sempadan negara Lubnan dengan negara Israel yang dikenali sebagai Blue Line dengan Sungai Litani yang meliputi kawasan seluas 1,100 kilometer persegi bagi memisahkan IDF dengan Pejuang Bersenjata Hezbollah.

d. Lebanese Armed Forces (LAF) dikehendaki mengaturgerakkan anggotanya di kawasan berkenaan bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan wilayah Lubnan.

7. Di dalam pelaksanaan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, ianya dibahagikan kepada 5 fasa iaitu:

           a. Fasa 1. Mencegah/menghalang daripada bermulanya pertelingkahan.

b. Fasa 2. Pengunduran IDF.

c. Fasa 3. Peralihan dalam membantu LAF mencapai taraf keupayaan operasi penuh bagi menentukan keselamatan Lubnan.

d. Fasa 4. Penstabilan.

e. Fasa 5.  Pengurangan dan pengunduran pasukan pengaman PBB.

8. Pada masa ini kemajuan yang telah dicapai adalah pada Fasa 3 dan 4 yang mana LAF sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaannya bagi mencapai taraf operasi bagi menentukan keselamatan wilayah Lubnan.