Lokasi & Penempatan MK AB

PENEMPATAN AWAL.

Diawal penubuhan secara ad hoc pada tahun 2004 tiada penempatan khusus untuk MK AB. Terdapat staf yang berada di Wisma Pertahanan dan bangunan MK ATM-BPA (berhampiran JRP). Ini menyebabkan staf-staf MK AB tidak dapat dipisahkan dari perjawatan yang sebenarnya. Mesyuarat Pertama Penubuhan MK AB dan Penstrukturan Semula MK ATM telah dilaksanakan melalui Rujuk MATM/J5/5072/12-(63) bertarikh 22 September 2006. Struktur organisasi MK ATM telah disusun semula dan lokasi bangunan    pejabat MK AB yang dicadangkan adalah di Bilik Gerakan Pertahanan yang lama. Namun disebabkan kekangan ruang dan keselesaan, bangunan pejabat MK AB telah ditempatkan di bangunan BPK lama.

Blok D di Jalan Chenderik, Kem Kementah yang merupakan penempatan lama bagi Bahagian     Perkhidmatan Kesihatan Markas ATM telah dikenal pasti sebagai lokasi baru MK AB. Melalui Minit Mesyuarat Penyelarasan Penempatan MK AB yang diadakan pada 10 November 2006, hanya terdapat 134 ruang         pejabat yang boleh diisi di bangunan BPK lama (premis baru MK AB). Tingkat bawah masih kekal diduduki oleh PESAMA. Tingkat 2 bangunan dijadikan pejabat J2 dan J4. Manakala tingkat 3 dijadikan pejabat J3 dan J5. Setelah PESAMA berpindah ke bangunan baru pada tahun 2007, keseluruhan bangunan di blok D diduduki oleh MK AB.

Pada tahun 2015 Pejabat Kem MK AB telah dipindahkan ke bangunan bersebelahan Pejabat Kem KEMENTAH. Pada tahun 2016, pejabat J5, J9 dan HEA turut dipindahkan disebabkan ruang pejabat bangunan sedia ada di Jalan Chenderik agak padat dan memberi ruang kerja yang lebih selesa kepada staf.

PERPINDAHAN MK AB KE KOMPLEKS MK AB SG PANCHING.

Pembinaan Kompleks Bangunan MK AB telah dirancang sejak tahun 2007. Sidang Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) ke-400 telah mengarahkan MATM-BPP untuk menubuhkan dan mengetuai Tim Kesesuaian Tapak bagi mencadangkan lokasi alternatif. Tim telah melaksanakan tinjauan secara fizikal ke atas tanah-tanah milik ATM di beberapa lokasi bersesuaian termasuk di Sg Panching, Kuantan, Pahang yang berkeluasan 97.769 ekar. Lokasi ini adalah kerana kedudukan kem-kem serta pangkalan TDM, TLDM dan TUDM yang berhampiran diyakini akan secara langsung dapat menyokong pengoperasian MK AB. Projek merekabentuk, membina dan menyiapkan MK AB di Sg Paching, Kuantan, Pahang telah dimulakan pada 25 Februari 2014.

Kontraktor reka dan bina adalah Target Resources Sdn Bhd (TRSB). Projek telah siap 25 April 2019 dan MATM-BPKP menyerahkan Kompleks MK AB kepada Lembaga Ambil Alih yang telah bersidang pada 8 Mei 2019. Seterusnya, Lembaga Ambil Alih telah melaksanakan serah menyerah Kompleks MK AB kepada MK AB pada 11 Jun 2019. Majlis Pengoperasian MK AB di Kompleks Sg Panching telah dilaksanakan pada 1 Julai 2019. Kumpulan Pendahuluan telah bergerak ke Kompleks MK AB Sg Panching pada 12 Jun 2019     manakala Kumpulan Induk pada 25 Jun 2019. Majlis Paluan Berundur MK AB dari Kem KEMENTAH, Kuala Lumpur ke Kompleks MK AB telah dilaksanakan pada 24 Jun 2019 manakala Majlis Perasmian Pengoperasian dilaksanakan pada 1 Julai 2019 yang telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera.   

Skip to content