Nilai teras yang menekankan Kebersamaan, Responsif, Proaktif, Inovatif dan Kebolehsuaian adalah antara kriteria untuk menjadikan MK AB sebuah Markas Pemerintahan yang kredibel dan mampu merempuhi sebarang cabaran pada masa depan.
KEBERSAMAAN (Jointness)
Nilai teras kebersamaan adalah fokus utama MK AB. Antara ciri-ciri kebersamaan yang termaktub dalam doktrin strategi 4D MAF adalah keupayaan beroperasi secara bersama – Saling Khidmat (Interoperability). Kertas Putih Pertahanan (KPP) turut menekankan kebersamaan seluruh kekuatan nasional demi menjamin kepentingan dan kedaulatan negara melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
RESPONSIF (Responsive)
Kesedaran situasi (situation awareness) dan rasa desakan (sense of urgency) adalah antara budaya kerja warga MK AB yang berdaya responsif. Tindakan serta-merta terhadap segala perintah dari pihak atasan atau informasi yang kritikal amat penting bagi sebuah markas pemerintahan, terutamanya berhubung dengan pengoperasian yang menglibatkan tiga perkhidmatan, pelbagai agensi dan juga negara-negara sahabat.
PROAKTIF (Proactive)
Definisi proaktif adalah bersikap positif dengan merangka dan mengawal tindakan yang dilakukan jauh lebih awal daripada akan belakunya sesuatu perkara atau kejadian. Justeru, semua lapisan warga MK AB haruslah menanam sifat proaktif bermula daripada peringkat perancangan, penyelarasan, pengurusan hingga ke peringkat perlaksanaan semua penugasan operasi atau eksesais bersama.
INOVATIF (Innovative)
Inovasi ialah kaedah mencari jalan untuk menghasilkan penyelesaian atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan. Budaya inovatif dapat mencetuskan idea-idea yang kreatif untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti MK AB. Idea-idea ini boleh merangkumi apa-apa perubahan dari segi aspek sistem, prosedur, kaedah dan tatacara bekerja mahupun pengenalan teknologi yang terkini.
KEBOLEHSUAIAN (Adaptability)
MK AB juga harus melengkapkan barisan staf yang kompeten dengan doktrin, prosedur dan pengetahuan untuk penugasan operasi bersama yang berkeupayaan serta kebolehsuaian sejajar dengan aspirasi transformasi 4D MAF untuk menjadikan ATM sebuah Angkatan Versatil (Versatile).